Perlindungan PIDM adalah percuma dan automatik untuk semua
Kuala Lumpur, 24 Mac 2022: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menegaskan bahawa perlindungan yang disediakan kepada pendeposit di bank (penyimpan) adalah percuma dan automatik. Baru-baru ini, PIDM telah dimaklumkan tentang
penipuan kewangan (
‘scam’) yang mendakwa PIDM mentadbir satu akaun khas dikenali sebagai “Akaun Keselamatan”, dan merupakan sebahagian daripada prosedur penyiasatan oleh agensi kawal selia dan penguatkuasa.
PIDM meminta orang awam agar berwaspada terhadap individu atau organisasi yang menuntut bayaran bagi perlindungan PIDM. PIDM juga tidak mentadbir sebarang akaun khas yang dikenali sebagai “Akaun Keselamatan”. Di bawah Sistem Insurans Deposit yang ditadbir oleh PIDM, pendeposit dilindungi sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli.
Orang awam juga diminta berhati-hati dengan bahan pemasaran palsu yang menyalahgunakan nama dan logo PIDM bagi tujuan mempromosikan pelaburan atau perniagaan. Contoh bahan atau dokumen yang memberikan gambaran yang tidak tepat mengenai perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran boleh didapati di laman
Nasihat Pengguna Kewangan PIDM.
Berikut adalah beberapa amalan yang boleh dipraktikkan agar orang awam tidak terjerat dengan penipuan kewangan:
- Semak dahulu sebelum membayar – Tidak ada bank, pengendali takaful atau syarikat insurans yang akan meminta anda membayar untuk perlindungan PIDM. Jika mereka meminta anda berbuat demikian, jangan lakukan sebarang pembayaran dan hubungi kami dengan segera.
- Kata laluan anda adalah rahsia – Bank, pengendali takaful atau syarikat insurans anda tidak akan sama sekali meminta kata laluan perbankan dalam talian, nombor PIN atau nombor tiga digit di belakang kad debit atau kad kredit anda.
- Luangkan sedikit masa – Jangan tergesa-gesa mengesahkan sesuatu pembelian atau merasa tertekan untuk membuat keputusan kewangan/pelaburan dengan cepat. Luangkan sedikit masa, dapatkan nasihat daripada pakar, semak maklumat daripada sumber rasmi. Membiasakan diri untuk membuat panggilan balas agar anda dapat mengawal keputusan berdasarkan maklumat yang ada pada anda. Dalam mendapatkan maklumat, sentiasa rujuk kepada sumber rasmi dengan menghubungi e-mel dan nombor telefon yang betul. Semua maklumat ini boleh didapati di laman web rasmi, di belakang kad debit/kredit atau di penyata bank anda.
- Lakukan semakan berulang kali – Sebelum membuat sebarang pembayaran dalam talian, semak akaun bank atau telefon nombor individu yang berurusan dengan anda di aplikasi “Semak Mule” Polis Diraja Malaysia di https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/. Pastikan anda tidak berurusan dengan scammer (penipu).
Senarai penipuan kewangan dan panduan bagi membantu konsumer kewangan melindungi diri mereka juga boleh didapati di laman Facebook
Amaran Scam Bank Negara Malaysia.
Orang awam juga dinasihatkan untuk merujuk kepada senarai penuh institusi ahli PIDM di
www.pidm.gov.my. Institusi ahli PIDM merangkumi semua bank komersial dan institusi perbankan Islam, syarikat insurans; iaitu kedua-dua insurans am dan hayat, serta pengendali takaful, yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.