PIDM dan LPS perkukuh hubungan rentas sempadan menerusi MoU baharu

Teruskan hubungan erat yang terjalin sejak 2018
 
PIDM-IDIC-MoU-2.jpeg


Kuala Lumpur, 13 Julai 2023: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) Indonesia baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah terjalin antara kedua-dua agensi tersebut.
 
Perjanjian terbaharu itu dimeterai berdasarkan MoU sebelumnya yang ditandatangani pada tahun 2018 dan menekankan komitmen PIDM dan LPS untuk memupuk kerjasama erat bagi melindungi konsumer kewangan serta selaku pihak berkuasa resolusi di negara masing-masing.
 
“Komitmen berterusan melalui MoU ini akan mempersiapkan kami bagi perkongsian yang lebih teguh. Dengan saling bertukar pandangan dan amalan terbaik, PIDM dan LPS berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran masa depan serta dapat meningkatkan daya tahan sektor kewangan masing-masing dan seterusnya memberi manfaat kepada konsumer kewangan,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memajukan usaha kolaboratif dan mengukuhkan kerjasama kami. MoU antara LPS dan PIDM ini amat dihargai. MoU ini akan menguatkan lagi dedikasi kami untuk bekerjasama dan mewujudkan rangka kerja bagi memperluaskan bidang kolaborasi demi kepentingan bersama,” kata Purbaya Yudhi Sadewa, Pengerusi LPS.
 
Majlis permeteraian MoU PIDM-LPS itu berlangsung di Kuala Lumpur.
 
PIDM dan LPS terus komited untuk mengekalkan hubungan rentas sempadan yang kukuh bagi memastikan kestabilan dan daya tahan sistem kewangan yang berterusan antara kedua-dua agensi.

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to