Kuala Lumpur, 9 November 2023: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Dato Sri (Dr) Zukri Samat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 1 November 2023.
Dato Sri Zukri berpengalaman luas dalam sektor kewangan dan perbankan Islam khususnya dalam penyusunan semula, serta pemulihan aset dan institusi. Beliau pernah memegang beberapa jawatan utama dalam pelbagai organisasi termasuk Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB Holdings Berhad, dan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.
Dato Sri Zukri merupakan salah seorang anggota utama Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997/1998 di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengemudi aktiviti penstrukturan semula dan pemulihan pinjaman. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Danaharta dari Julai 2003 hingga Disember 2005.
Jawatan-jawatan utama lain yang pernah disandang oleh Dato Sri Zukri termasuk Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (
International Centre for Education in Islamic Finance - INCEIF), Pengarah Malaysia Debt Ventures Berhad, Pengerusi Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (
Islamic Banking and Finance Institute Malaysia – IBFIM), Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (
Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia – AIBIM), Pengarah Institut Kewangan Asia (
Asian Institute of Finance – AIF), dan Pengarah Aafaq Islamic Finance Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata “Bagi pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PIDM, kami mengalu-alukan kehadiran Dato Sri Zukri sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Dengan pengalaman luas beliau, Dato Sri Zukri dapat menyumbang pandangan yang praktikal dan tidak ternilai, lebih-lebih lagi ketika PIDM kini sedang melaksanakan perancangan pemulihan resolusi.”
Beliau menggantikan Tan Sri Dr Rahamat Bivi Yusoff yang telah bersara daripada barisan Lembaga Pengarah.
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada Tan Sri Dr Rahamat Bivi Yusoff atas sumbangan besar dan sokongan padu beliau kepada PIDM sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah sepanjang enam tahun yang lalu. Kami mengharapkan yang terbaik dalam segala urusan beliau pada masa depan,” tambah Rafiz.
Dengan pelantikan baharu ini, ahli
Lembaga Pengarah PIDM terdiri daripada:
- Dato Sri Zukri Samat (Pengerusi)
- Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
- Datuk Johan Mahmood Merican (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
- Datuk Dr Yacob Mustafa
- Dato’ Nor Eni Ismail
- Dato Dr Nik Ramlah Mahmood
- Dato’ Dr Gan Wee Beng
- Puan Gloria Goh
- Encik Lee Kong Eng
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.