PIDM anugerah biasiswa kepada 20 pelajar cemerlang

Lebih 240 pelajar telah ditaja di bawah program ini sejak 2010

Kuala Lumpur, 25 September 2024: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menganugerahkan biasiswa kepada 20 pelajar melalui Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM. Selama 15 tahun, program biasiswa itu telah berjaya membantu pelajar Malaysia yang layak dan memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di universiti tempatan. Dimulakan pada 2010, program biasiswa tersebut telah menaja seramai 248 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.
 
“Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM mencerminkan komitmen teguh kami untuk memperkasakan pelajar yang memerlukan bantuan kewangan. Pelajar yang terpilih berhak mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian dan mencapai impian masing-masing tanpa kekangan kewangan yang menjadi halangan kepada cita-cita mereka. Kami dengan sepenuh hati menyokong dan menggalakkan semangat mereka untuk menimba ilmu, dan berharap melalui program biasiswa ini, para pelajar ini akan beroleh kejayaan dan menyumbang kepada negara dan masyarakat,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
Rafiz juga menekankan kepentingan pendidikan kepada bakat-bakat muda demi menjamin masa depan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan serta memperbaiki kehidupan masyarakat dan diri masing-masing. Pemegang biasiswa akan berpeluang memaksimumkan potensi mereka untuk menjadi individu kompeten, bertanggungjawab dan inovatif yang mampu merebut peluang dan menghadapi cabaran mendatang di masa depan.
 
Sufi Nabihah Najihah binti Sulaiman dari Johor Bahru, Johor menerima biasiswa itu susulan pencapaian akademiknya yang sangat cemerlang.  Selepas menamatkan pengajian diploma dalam bidang Sains Aktuari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, beliau menerima Anugerah Naib Canselor dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam bidang yang sama di UiTM Shah Alam. Berasal daripada keluarga seramai lima orang, dengan bapanya bekerja sebagai pemandu van kilang dan ibunya seorang suri rumah, Najihah terdorong untuk berusaha keras demi menjamin masa depan yang lebih baik buat keluarganya.
 
“Saya amat berterima kasih kepada PIDM atas peluang ini. Ibu bapa saya turut berasa lega kerana biasiswa ini telah membantu saya dari segi kewangan, sekali gus membolehkan saya memberi tumpuan penuh kepada pelajaran dan kerjaya di masa depan. Saya berharap akan berpeluang untuk meningkatkan kemahiran saya dan dapat berdamping dengan golongan profesional dalam bidang pengajian saya,” kata Najihah.
 
Lee Jia Jun, dari Pusing, Perak menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dengan meraih PNGK 4.0 dan akan menyambung pengajian dalam bidang Perakaunan di Universiti Sains Malaysia. Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang perakaunan dan perniagaan, yang terbukti apabila beliau memenangi pelbagai pertandingan kuiz perakaunan dan kewangan peringkat negeri semasa di sekolah menengah. Jia Jun berazam untuk berjaya dalam pendidikannya dan memandang tinggi kepada bapanya, seorang penjaja yang mengajar beliau untuk kekal positif dan melihat cabaran sebagai peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik.
 
"Saya gembira dipilih sebagai penerima biasiswa PIDM. Selain bantuan kewangan, peluang latihan praktikal yang disediakan akan mendedahkan saya kepada pengalaman berharga yang boleh meningkatkan pemahaman saya tentang perakaunan dan ekonomi. Saya percaya program biasiswa ini dapat membantu memperbaiki diri saya secara peribadi dan profesional,” kata Jia Jun. Beliau mengimpikan untuk menjadi seorang akauntan dan menubuhkan firmanya sendiri suatu hari nanti.
 
Pavitharan Rao A/L Subramaniam, dari Rawang, Selangor, merupakan pelajar pengajian Kewangan di Universiti Utara Malaysia. Berasal daripada keluarga seramai empat orang, bapa dan abang sulungnya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya bekerja di kilang untuk membantu keluarga dari segi kewangan. Pavitharan yang merupakan penerima Senarai Dekan dan pemegang Sijil Perakaunan daripada London Chamber of Commerce and Industry berhasrat untuk menjadi penganalisis kewangan dan memulakan perniagaannya sendiri suatu hari kelak.  Sentiasa bersemangat waja dalam menyahut cabaran dan bercita-cita untuk membawa impak yang positif, beliau amat menghargai sokongan bapanya yang sering menerapkan nilai-nilai murni pada dirinya agar sentiasa berusaha gigih dan cekal dalam hidup.
 
“Saya terkejut dan teruja menerima Anugerah Biasiswa Sarjana Muda PIDM dan menggalakkan pelajar lain agar turut memohon. Program ini membuka ruang kepada peluang yang lebih cerah kepada pelajar seperti saya dan membolehkan saya memberi tumpuan kepada perkara yang amat penting – iaitu masa depan saya. Pengalaman yang bakal saya peroleh daripada program ini juga boleh membantu saya meningkatkan kemahiran sebelum saya menceburi bidang pekerjaan,” tambah Pavitharan.
 
Dato Sri (Dr) Zukri Samat, Pengerusi PIDM menyampaikan ucapan perasmian pada majlis yang dihadiri penerima biasiswa baharu, penerima biasiswa yang telah tamat pengajian, ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan PIDM. Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi. Bantuan menyeluruh ini merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup dan alat bantuan pembelajaran. Selain daripada bantuan kewangan, PIDM memberi peluang kepada penerima biasiswa untuk menjalani latihan praktikal di PIDM dan dibimbing oleh mentor PIDM untuk melengkapkan proses pembelajaran akademik mereka.
 
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, sila layari laman web PIDM. Video mengenai penerima biasiswa kami boleh didapati di sini.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.

 
Share to