PIDM anjur muzakarah bersama pengamal Syariah untuk meneroka penyelesaian praktikal bagi resolusi

Forum bertujuan mengenal pasti dan menangani penghalang terhadap pelaksanaan resolusi kegagalan yang berkesan untuk institusi perbankan Islam

Kuala Lumpur, 11 September 2024: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini buat julung kalinya mengadakan muzakarah bertemakan ‘Mekanisme Pemindahan Perniagaan, Aset dan Liabiliti Institusi Perbankan Islam’. Muzakarah tersebut dihadiri oleh pengamal Syariah industri perbankan Islam dan bertujuan untuk mengenal pasti penghalang kepada pelaksanaan resolusi dan mencari penyelesaian kepada isu-isu yang mungkin timbul ketika pelaksanaan resolusi ke atas institusi perbankan Islam yang gagal.
 
“Memandangkan perbankan Islam terus berkembang maju di Malaysia, PIDM perlu memastikan resolusi yang berkesan dan kesinambungan perkhidmatan yang penting dalam perbankan Islam sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi perbankan Islam. Ini termasuk membuat penilaian tahap kesediaan pemindahan institusi perbankan Islam yang merupakan ahli PIDM. Muzakarah PIDM menyediakan suatu wadah kepada pengamal Syariah untuk membincangkan dan mempertimbangkan pembangunan mekanisme pemindahan patuh Syariah dan mencapai kesepakatan dalam menangani cabaran yang mungkin timbul dalam industri perbankan Islam,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
"Matlamat utama kami adalah untuk mengenal pasti dan menangani halangan, semasa perbankan Islam masih beroperasi seperti biasa, agar ia dapat dielakkan atau dikurangkan ketika resolusi," tambah Rafiz.
 
Ahli-ahli panel muzakarah membincangkan pelbagai topik mengenai resolusi kegagalan institusi perbankan Islam, termasuk peranan PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya, dan mekanisme serta pertimbangan Syariah dalam melaksanakan pemindahan penuh dan separa institusi yang gagal. Muzakarah tersebut telah dirasmikan oleh Dato Sri (Dr) Zukri Samat, Pengerusi PIDM.
 
Perbincangan dengan komuniti pengamal Syariah tempatan mengenai topik resolusi dijangka diteruskan pada masa depan melalui penganjuran forum-forum dan PIDM akan terus berusaha untuk memandu perbincangan dan naratif mengenai aspek-aspek Syariah dalam resolusi.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to