Rafiz Azuan Abdullah menyertai PIDM pada tahun 2007, yang mana beliau menyertai Bahagian Insurans, Penilaian Risiko dan Pemantauan, dan menerajui penyempurnaan Sistem Penilaian Risiko untuk PIDM. Pada tahun 2011, dengan mandat baharu PIDM yang turut meliputi Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, beliau menubuhkan rangka kerja Sistem Penilaian Risiko dan Levi Berbeza bagi ahli penginsurans. Pada Jun 2014, Rafiz Azuan menyandang jawatan Pengurus Besar Eksekutif, sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan penggantian Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Rafiz Azuan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelidikan di bawah Asia Pacific Regional Commitee (APRC), Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (International Association of Deposit Insurers - IADI), Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik IADI, serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Insurans Deposit Islam IADI. Beliau juga merupakan ahli Majlis Eksekutif IADI dari 2017 hingga 2020.
Sebelum menyertai PIDM, Rafiz Azuan berkhidmat di Rating Agency Malaysia selama lebih 10 tahun, yang mana beliau mempunyai pengkhususan dalam penarafan institusi kewangan, syarikat hartanah dan pembinaan. Pada tahun 1999, Rafiz Azuan dipinjamkan kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat di Bank Negara Malaysia untuk membantu penyusunan semula syarikat-syarikat yang bermasalah akibat kemelesetan ekonomi.