Kembara Khidmat JJ

Setelah menyedari minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan sejak muda, Phang Jai Juet – lebih dikenali sebagai JJ – tidak pernah berhenti menjadikan minatnya sebagai falsafah kehidupan. Buat peguam sepenuh masa dan calon PhD dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Open Universiti Malaysia cawangan Melaka ini, dia memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menjadi pendidik.
 
“Jika kita lebih terbuka dalam berkongsi ilmu dan pengalaman antara satu sama lain, saya percaya bahawa masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan makmur,” kata JJ.
 
“Contohnya, kebanyakkan graduan yang baru menamatkan pengajian dan memulakan pekerjaan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai industri yang mereka ceburi. Mereka perlu belajar dan menimba pengalaman dengan bekerja. Namun, saya yakin proses ini dapat dipercepatkan sekiranya masyarakat di sekeliling lebih terbuka untuk berkongsi ilmu dan membantu mereka.”
 
JJ yang memulakan sebuah firma guaman di Ayer Keroh, Melaka, bersama isterinya dan seorang lagi rakan kongsi, berkata keterbukaan untuk berkongsi ilmu adalah penting, terutamanya dalam bidang perniagaan.
 
“Individu yang kita didik pada hari ini mungkin akan menjadi seorang pemimpin di masa hadapan. Kita tidak tahu jika individu yang mendapat manfaat dari usaha kita akan memanfaatkan lebih ramai lagi suatu hari nanti,” kata JJ. Selari dengan falsafah ini, firma guaman JJ turut menawarkan peluang latihan industri (‘internship’) dari rumah untuk pelajar universiti sewaktu penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
 
Selain sibuk menguruskan perniagaan dan pelajarannya, JJ turut aktif sebagai ahli Business Network International (BNI) di Melaka. Menurut JJ, BNI ialah sebuah gabungan yang menyokong peniaga kecil-kecilan dan sederhana dengan peluang perniagaan dan rangkaian bersama. JJ bercita-cita untuk menjadi Pengarah Eksekutif BNI di Melaka dan membantu lebih ramai ahli perniagaan muda pada masa akan datang.
 
Bagi JJ yang kini berumur 30 tahun, semangat untuk bekerja keras dan bercita-cita tinggi dalam dirinya lahir daripada didikan sejak kecil lagi yang berteraskan kecekalan dan sikap berdikari. Sebagai anak pertama, JJ terpaksa matang dengan cepat untuk membantu kedua-dua adik perempuannya yang masih bersekolah. Pada waktu itu, ibu bapanya yang bekerja sebagai pengurus kilang bersara secara serentak ketika JJ memasuki tahun kedua pengajian ijazah sarjana muda.
 
JJ menuntut jurusan undang-undang di Universiti Multimedia, kampus Melaka. Pada tahun pertamanya, JJ bekerja secara sambilan sebagai seorang guru muzik untuk menyara perbelanjaan pendidikannya.
 
Segalanya berubah apabila JJ terjumpa iklan biasiswa di papan buletin fakultinya.
 
“Iklan yang saya lihat adalah tawaran program biasiswa Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Saya terus menghantar permohonan walaupun ia merupakan kali pertama saya mendengar mengenai biasiswa ini.”
 
JJ berasa sangat gembira apabila beliau terpilih untuk menjadi salah seorang daripada lima orang penerima pertama biasiswa PIDM.
 
Dengan bantuan yang diterima, JJ mampu membayar yuran pengajian dengan penuh dan menggunakan elaun bulanan untuk menyara diri. Namun begitu, JJ berkeputusan untuk meneruskan pekerjaan sambilannya.
 
“Saya berasa sungguh bertuah. Biasiswa PIDM tidak seperti biasiswa lain kerana penerima biasiswa tidak terikat selepas tamat pengajian ,” kata JJ.
 
JJ turut mengenang pengalaman manisnya menaiki bas untuk menghadiri program-program latihan dan bengkel untuk penerima biasiswa di ibu pejabat PIDM di Kuala Lumpur.
 
“Melalui sokongan yang diberikan kepada penerima biasiswa seperti mentor dan program khusus, organisasi ini menyedarkan saya bahawa biasiswa bukan sahaja bertujuan untuk memberi sokongan dalam bentuk kewangan kepada pelajar, malah memberi bimbingan kepada pelajar untuk mengenalpasti potensi dan menjadi versi terbaik diri sendiri,” katanya.
 
 
Pengajaran dari perjalanannya
 
JJ menganggap setiap individu yang beliau kenal sewaktu zaman pengajiannya sebagai inspirasi dalam membina perjalanan profesional dan akademiknya. Beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan individu-individu yang dianggap sebagai mentor dan berharap agar hubungan tersebut akan terus berkekalan.
 
 
Pengalaman yang dilalui mengajar beliau erti kesyukuran.  Beliau sangat berterima kasih dan terhutang budi kepada semua individu yang pernah memberi bantuan. Sebagai tanda terima kasih, beliau berinspirasi untuk menulis nota penghargaan kepada pensyarah-pensyarahnya setelah tamat pengajian.
 
JJ juga berasa sangat bersyukur apabila seorang pensyarah menawarkan bantuan kepada JJ untuk memohon geran penyelidikan bagi ijazah sarjana dari Kementerian Pengajian Tinggi.
 
Walau bagaimanapun, banyak cabaran yang dilalui oleh JJ sepanjang tempoh penyelidikan beliau.  JJ perlu melengkapkan kaji selidik kualitatitif yang memerlukan beliau menemubual  ramai tokoh-tokoh penting dalam industri undang-undang dan kehakiman negara. JJ bergelut untuk menyiapkan penyelidikannya dalam masa yang diberikan.
 
Hampir putus asa dan di kala individu-individu di sekeliling JJ memberi nasihat untuk melupakan impiannya, bapanya menjadi pembakar semangat yang mendorongnya untuk tidak berputus asa.
 
“Bapa saya berkata, orang tidak akan ingat bagaimana kita memulakan cabaran, tetapi mereka akan ingat apabila kita mengakhiri sesuatu cabaran dengan kejayaan.,” katanya.
 
“Setiap daripada kita mempunyai cabaran masing-masing dan kita tidak akan bermula dari tempat yang sama. Apa yang membezakan antara kita adalah pilihan dan usaha untuk mencapai kejayaan,” kata beliau.
 
“Dalam pengembaraan hidup, kita akan melalui pelbagai musibah yang memberi peluang untuk kita mengubah hala tuju dan menjadi pelayar kehidupan yang lebih cekap. Saya bersyukur kerana perjalananan hidup saya telah menemukan saya dengan PIDM, yang telah mengukuhkan kekuatan diri dan memberi inspirasi kepada saya untuk mengisi perjalanan hidup dengan berkhidmat, dan mengutamakan keharmonian serta kebahagiaan.”
Share to