Penginsurans deposit pergiat perbincangan mengenai perubahan dinamik dalam medepani perkembangan fintech


Perkembangan teknologi kewangan (fintech) kian mengubah industri kewangan, melalui inovasi dalam bidang seperti pembayaran secara digital, model perbankan teras, mata wang kripto dan pembiayaan alternatif. Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan lagi jejak digital dalam industri kewangan kerana konsumer kini lebih mudah menerima penggunaan produk dan perkhidmatan fintech.

Dalam mendepani perkembangan ini, satu webinar bertemakan “Fintech and Changing Dynamics of Deposit Insurance” (Fintech dan Perubahan Dinamik Insurans Deposit) telah diadakan pada 2 Jun, 2021.  Webinar itu dianjurkan bersama oleh Korea Deposit Insurance Corporation (KDIC) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Seramai 233 peserta daripada 16 penginsurans deposit di rantau Asia Pasifik menghadiri sesi tersebut.

Dalam ucapan pembukaan beliau, Seongbak Wi, Pengerusi Asia-Pacific Regional Committee (APRC) International Association of Deposit Insurers (IADI) dan Presiden KDIC, memberikan tinjauan strategik mengenai fintech dan menekankan keperluan untuk penginsurans deposit mengenal pasti peranan baharu yang muncul daripada pertumbuhan fintech.
Berikut adalah beberapa inti pati dan pandangan utama yang dikongsi dalam webinar itu:
  1. Susulan peningkatan pembayaran secara digital, kemunculan cabaran baharu seperti risiko siber, penipuan dan penyelewengan telah meningkatkan tumpuan kepada keperluan untuk menambah baik rangka perlindungan konsumer kewangan.
  2. Dengan pengenalan Central Bank Digital Currencies (CBDC) (Mata Wang Digital Bank Pusat), peranan penginsurans deposit dan penyelesaian yang mungkin dapat menangani kemungkinan risiko CBDC kepada kestabilan kewangan dibincangkan. Secara ringkasnya, CBDC adalah tuntutan dalam nilai mata wang nasional terhadap bank pusat yang berasaskan akaun atau token dan boleh dipindah milik secara elektronik.   
  3. Peluang baharu dan pengalaman beberapa penginsurans deposit berkaitan fintech turut dibincangkan. Ia termasuk skim untuk mendapatkan semula pindahan wang yang tersilap, yang merupakan pengembangan kepada mandat dan fungsi semasa penginsurans deposit. Selain itu, peningkatan penggunaan e-dompet dan e-wang telah mendorong salah satu penginsurans deposit untuk meneroka penggunaan platform baharu untuk memudahkan pembayaran balik deposit, meningkatkan kesedaran awam dan berkongsi trend data deposit dengan konsumer kewangan. 
 
Dalam ucapan penutupnya, Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM dan Pengerusi IADI APRC Research Technical Committee, menyatakan bahawa penginsurans deposit memerlukan tindak balas strategik dan juga proaktif untuk menghadapi pertumbuhan fintech yang semakin pesat.

Selain daripada apa yang dibincangkan, penginsurans deposit juga harus mempertimbangkan, antara lain, potensi menggunakan analisis prediktif daripada kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk memantapkan keberkesanan penglibatan konsumer, serta menambah baik resolusi ke atas bank. Akhir sekali, kemunculan perbankan digital di rantau Asia Pasifik bukan sahaja akan memperkenalkan pemain baharu dengan inovasi luar biasa tetapi juga risiko baharu dan berbeza.   

Memandangkan penginsurans deposit kini semakin terdedah dengan trend fintech dan peralihan strategik lain dalam landskap kewangan, Rafiz menekankan kepentingan pertimbangan progresif menerusi webinar dan platform lain untuk membina pemahaman bersama, bertukar-tukar idea dan mengenal pasti cara yang lebih baik untuk melangkah ke hadapan bersama-sama.
Share to