Jabatan Insolvensi melaporkan kes muflis di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Semenjak tahun 2017 sehingga Jun 2021 telah menunjukkan sebanyak 23.63% kes melibatkan golongan yang berumur di bawah 34 tahun.
Di Malaysia, majoriti kes muflis bagi seseorang individu adalah disebabkan oleh tunggakan atau kegagalan membayar hutang pinjaman kenderaan, perumahan, peribadi dan perniagaan.
Seseorang individu yang menetap di Malaysia akan diisytiharkan muflis sekiranya gagal melangsaikan hutang lebih daripada RM100,000 selama tempoh 6 bulan berterusan.
Oleh itu, langkah-langkah pencegahan amat penting dalam memastikan seseorang itu tidak dibelenggu masalah kewangan sehingga diisytiharkan muflis.
Apakah yang akan berlaku sekiranya anda diisytiharkan muflis?
Beberapa tindakan akan dikenakan kepada individu yang diisytihar muflis. Antaranya ialah:
- semua aset peribadi anda seperti rumah, kenderaan dan lain-lain aset akan diletakkan di bawah pentadbiran dan pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) bagi proses bayar balik hutang-hutang yang tertunggak;
- pembekuan akaun bank dan menetapkan had kredit tidak melebihi RM1,000 kepada individu muflis;
- individu muflis tidak dibenarkan membuat perjalanan ke luar negara melainkan permohonan bertulis daripada KPI;
- individu muflis tidak dibenarkan bekerja dalam bidang yang berkaitan seperti bidang kewangan, perakaunan dan kedoktoran; dan
- tidak berkelayakkan untuk mengusahakan atau memiliki perniagaan kerana telah disenarai hitamkan.
Langkah yang boleh diambil untuk menggelakkan seseorang menjadi muflis
- Berbelanja mengikut kemampuan
Bak kata pepatah Melayu, ukurlah baju di badan sendiri, berbelanja biarlah berpadanan dengan kemampuan diri dan tidak perlu mengikut trend semasa atau terpengaruh dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Sekiranya anda ingin membuat pinjaman kenderaan, pastikan ansuran bulanan bersesuaian dengan jumlah pendapatan anda. Berdasarkan laporan terbaru
Jabatan Insolvensi menyatakan 37.77% rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis adalah disebabkan oleh pinjaman peribadi, sementara 17.71% adalah disebabkan pinjaman kenderaan.
Selain itu, anda juga perlu mengawal berbelanja menggunakan kad kredit atau perkhidmatan bayaran ansuran untuk sesuatu yang tidak penting agar anda tidak dikenakan faedah yang tinggi. Kewujudan konsep pembayaran ansuran ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) baru-baru ini juga membimbangkan. Ia menawarkan konsep bayaran tanpa faedah kepada pembeli tetapi hakikatnya, anda akan dikenakan pembayaran penalti sekiranya anda gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Konsep pembayaran ini mungkin nampak menarik tetapi perlu difikirkan dahulu sama ada berbaloi untuk anda menanggung hutang disebabkan pembelian yang kurang penting.
- Disiplin dalam membuat bayaran
Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kebanyakan individu yang dibebani hutang sering mengelak daripada berdepan dengan masalah hutang mereka. Akibatnya, komitmen mereka menjadi lebih tinggi dan agak mustahil untuk mereka melunaskan bayaran secara serentak.
Untuk mengelakkan seseorang dibebani hutang yang tinggi, langkah utama ialah disiplin dalam membuat bayaran. Pastikan bayaran setiap hutang dibuat mengikut tarikh yang telah ditetapkan, agar ia tidak membebankan anda untuk menjelaskan bayaran dengan jumlah yang banyak serentak.
Contohnya untuk sesuatu kemudahan bank, seperti kad kredit, bayaran faedah akan menjadi lebih tinggi - faedah menjadi 18% berbanding 15% asalnya, disebabkan penalti lewat bayar. Dalam menguruskan hutang kad kredit elakkan juga hanya membayar bayaran minimum kerana tindakan ini akan menyebabkan faedah bertambah kerana berhutang untuk jangka masa yang lebih panjang.
Selain faedah, kelewatan bayaran yang sering berlaku juga menjejaskan
skor kredit dan anda mungkin berdepan dengan kesukaran untuk mendapat kelulusan apabila membuat pinjaman bank kerana skor yang kurang memuaskan. Oleh itu, pastikan pembayaran pinjaman anda teratur agar tidak menjejaskan skor kredit dan membolehkan anda mengurus aliran tunai dengan lebih baik.
- Dapatkan bantuan pihak professional
Sentiasa terbuka untuk belajar menguruskan kewangan dengan bijak. Pengetahuan yang kurang mengenai kewangan juga akan mengakibatkan seseorang mudah terjebak dengan penipuan seperti scam atau membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang yang tidak diiktiraf.
Jika anda buntu dan memerlukan bantuan jangan malu untuk dapatkan khidmat nasihat daripada badan professional. Anda boleh berunding dengan pihak bank dalam mengatur bayaran pinjaman mengikut kedudukan kewangan anda. Anda juga boleh merujuk kepada AKPK yang menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma untuk membantu individu yang mempunyai masalah berkaitan pembayaran hutang. Untuk maklumat lanjut layari laman web AKPK
https://www.akpk.org.my/my.