Saudara Pengarang,
AWAS PENIPUAN KEWANGAN MELIBATKAN PERLINDUNGAN PIDM!
Pernahkah anda menerima satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali? Anda seolah-olah sudah bersedia untuk panggilan penipuan kerana semua liputan tentang scam telah dibaca. Jadi anda jawab juga panggilan tersebut. Anda tidak mungkin terpedaya kerana sudah bersedia, kan?
Pemanggil dalam talian memperkenalkan diri beliau sebagai pegawai Perbadanan Insurans Deposit Malaysia atau PIDM. PIDM? Macam selalu dengar di radiolah, iklan pun ada. Oh! maka benarlah pegawai ini berkata PIDM memberi perlindungan insurans. Daripada perbualan tentang satu perkara
membawa kepada yang lain, akhirnya anda bersetuju untuk mendaftar dan membayar yuran bagi perlindungan PIDM.
Awas, anda baru sahaja di SCAM! Scammer memang bijak menyamar sebagai pegawai PIDM sehingga anda terpedaya. Ya benar, panggilan scam sebegini memang selalu menyalahgunakan nama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain lagi
termasuk PIDM. Jenis scam ini dirujuk sebagai Macau Scam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, PDRM.
Fungsi PIDM melindungi simpanan di bank dan manfaat takaful dan insurans
Anda mungkin tahu secara asas bahawa peranan PIDM adalah melindungi simpanan di bank dan manfaat takaful dan insurans sekiranya ahli PIDM muflis. Namun, alangkah baiknya jika anda tahu tentang perlindungan ini secara lebih terperinci agar tidak mudah terpedaya oleh scammer.
Adakah PIDM ini berfungsi seperti syarikat insurans dan orang ramai perlu membayar premium? Jawabnya, TIDAK. PIDM bukan syarikat insurans dan anda tidak perlu membayar apa-apa pun.
PIDM ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta PIDM bagi mentadbir dua sistem perlindungan iaitu:
- Sistem Insurans Deposit (DIS)
DIS melindungi deposit yang disimpan di bank ahli PIDM sekiranya berlaku kegagalan bank (muflis) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Jika anda ingin membaca lebih lanjut mengenai bagaimana deposit anda dilindungi, klik di sini.
- Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS)
Manakala, TIPS melindungi manfaat takaful dan insurans pemegang sijil takaful atau polisi insurans sekiranya pengendali takaful atau syarikat insurans mengalami kegagalan (muflis). Bergantung kepada sijil takaful atau polisi insurans anda, PIDM melindungi manfaat takaful atau insurans anda yang layak sehingga RM500,000. Untuk maklumat lanjut mengenai TIPS, klik di sini.
Tetapi ingat! Perlindungan PIDM ini bersifat automatik dan percuma. Ini bermakna anda tidak perlu mendaftar dan membayar untuknya. Ia berkuat kuasa sebaik sahaja akaun bank anda dibuka dan sijil takaful atau polisi insurans anda diaktifkan. Jadi anda harus waspada tentang penyamaran scam yang menuntut bayaran yuran bagi perlindungan PIDM.
Selain itu, terdapat beberapa bentuk penipuan kewangan lain yang melibatkan PIDM. Antaranya ialah:
- Menyamar sebagai entiti pelaburan sah yang terkemuka dan meyakinkan mangsa dengan sijil-sijil perlindungan pelaburan beserta logo yang kononnya dikeluarkan oleh PIDM . Namun, itu semua adalah scam kerana PIDM tidak melindungi sebarang skim pelaburan.
- Dividen pelaburan anda kononnya disekat oleh PIDM dan anda perlu membayar wang perlindungan insurans bagi meluluskan pemindahan wang ke akaun anda walhal pelaburan itu sendiri adalah scam.
- Menyamar sebagai pemberi pinjaman wang yang meminta mangsa membayar perlindungan PIDM sebelum mereka meluluskan pinjaman. Perkara utama di sini ialah PIDM tidak melindungi pinjaman, PIDM melindungi deposit atau simpanan di bank. Pinjaman yang ditawarkan juga selalunya adalah scam semata-mata.
Sekiranya anda mendengar arahan ‘bayar' untuk perlindungan PIDM, anda tahu bahawa ini adalah satu perkara yang tidak boleh percayai.
Menurut statistik aduan yang diterima oleh PIDM, terdapat sejumlah 380 aduan untuk tahun 2021 dan 2022, dan 312 daripadanya melibatkan salah guna nama dan logo PIDM untuk tujuan penipuan.
Beberapa contoh bahan pemasaran palsu yang mempunyai maklumat tidak tepat mengenai PIDM juga boleh lihat di pautan ini:
Penyalahgunaan Logo PIDM
Maka, yang penting untuk kita ingat:
- PIDM hanya akan membayar balik simpanan bank atau memenuhi tuntutan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya bank ahli atau ahli penginsurans PIDM mengalami kegagalan atau jatuh bankrap.
- PIDM TIDAK akan membayar balik simpanan yang hilang akibat penipuan kewangan termasuk juga kecuaian dan serangan siber.
Sebelum anda membuat apa-apa bayaran yang melibatkan nama PIDM, apa kata anda hubungi pihak PIDM secara terus di talian bebas tol 1800 88 1266 atau e-mel kepada info@pidm.gov.my bagi mendapatkan kepastian. Hah! barulah jika scammer bijak, anda lebih bijak.
Jika PIDM mengesahkan bahawa anda telah menjadi mangsa atau anda sendiri menyedari yang anda telah discam, jangan berlengah lagi. Hubungi
SEGERA Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk melaporkan sebarang kejadian penipuan kewangan.
Namun, bagi mendepani isu scam ini, kepekaan kita dan keprihatinan konsumer itu sendiri adalah lebih penting walaupun agensi penguatkuasaan telah diwujudkan. Bak kata pepatah Inggeris
“prevention is better than cure” yang bermaksud mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Artikel ini disumbangkan oleh Ridzuan Abdul Rahim, Pengurus Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat, PIDM.