Apakah Nisbah Pembayaran Hutang?
Ia adalah perbandingan komitmen hutang anda kepada pendapatan anda. Dengan kata lain, berapa banyak daripada pendapatan anda yang akan digunakan untuk membayar hutang anda.
DSR = Jumlah Komitmen hutang setiap bulan
Jumlah pendapatan setiap bulan
Mari kita ambil contoh. Ahmad memperoleh pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan. Beliau mempunyai hutang kereta yang perlu dibayar sebanyak RM800 sebulan dan hutang rumah sebanyak RM1,600 sebulan secara gadai janji. Menggunakan formula di atas, DSR Ahmad adalah 53%.
DSR Ahmad =
RM800 + RM1,600
RM4,500
=
RM2,400
RM4,500
= 53%
Bank secara umumnya, akan menerima DSR di bawah 60% bagi semua komitmen hutang anda. Ini bermakna sekiranya Ahmad mahu memohon pinjaman peribadi pada masa depan, beliau tidak boleh mempunyai komitmen bulanan tambahan melebihi RM300, melainkan pendapatan bulanannya meningkat.
Bagaimana saya boleh memperbaiki DSR?
💡 Tip: DSR dikira menggunakan pendapatan bersih anda. Ini adalah jumlah yang anda peroleh selepas potongan statutori bagi KWSP, SOCSO dan cukai (PCB) telah dibuat. Juga perlu diberi perhatian pengiraan komiten bulanan adalah termasuk kedua-dua hutang bank dan bukan bank. Ini juga termasuk pinjaman PTPTN, ansuran pembayaran daripada institusi bukan bank seperti AEON Credit, FlexiPlans by COURTS, dan lain-lain.
Sebaiknya anda perlu mengekalkan DSR antara 30% hingga 40% sepanjang masa. Ini menunjukkan anda mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna berbanding obligasi hutang setiap bulan.
Sekiranya anda mahu memperbaiki DSR anda, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan:
- Mula membayar hutang dan jangan maksimumkan perbelanjaan kad kredit anda
Ia nampak macam mudah tetapi memang sukar untuk dilaksanakan oleh sesetengah orang, sama ada disebabkan oleh keadaan semasa mereka atau kurangnya keazaman untuk mengawal kehendak hati mereka untuk boros berbelanja.
Jika anda ada kad kredit, pastikan anda membayar keseluruhan baki pada akhir setiap bulan agar hutang anda tidak menimbun kerana ini akan menyebabkan DSR anda meningkat melebihi had sihat. Sememangnya lebih mudah membuat bayaran minimum kad kredit atau pelan ansuran anda. Namun, jika boleh, bayar sebanyak mungkin hutang kerana ia dapat membantu anda menyelesaikan hutang lebih cepat dan seterusnya mencapai status bebas hutang.
- Kumpul dan simpan bukti pendapatan dan pembayaran semula kredit bukan bank yang konsisten
Jika anda bekerja sendiri sama ada sebagai pekerja bebas atau peniaga kecil-kecilan, salah satu daripada cabaran utama untuk mendapat akses kepada pembiayaan daripada bank adalah keupayaan untuk membuktikan pendapatan yang konsisten. Kebanyakan bank tradisional masih bergantung kepada penyata pendapatan sebelum membuat keputusan untuk memberi pinjaman kepada peminjam. Oleh itu, anda boleh menggunakan penyata bank atau invois pembayaran sebagai bukti pendapatan.
Jika anda tidak mempunyai hutang sedia ada dengan mana-mana bank, anda juga boleh mengemukakan sebarang bukti pembayaran hutang daripada institusi kewangan lain (termasuk koperasi) kepada pihak bank tersebut. Ini akan membolehkan pihak bank mengenal pasti rekod pembayaran tetap hutang anda dari semasa ke semasa.
- Sekiranya boleh, tingkatkan jumlah simpanan
Anda juga boleh menggunakan bukti simpanan sebagai satu daripada dokumen sokongan bagi membantu menyokong permohonan pinjaman anda sekiranya DSR anda tinggi.
Salah satu kelebihan sebagai pekerja bebas atau individu yang bekerja sendiri adalah kerana pendapatan bulanan mereka lebih tinggi dalam beberapa bulan berbanding pekerja bergaji tetap. Jadi apabila anda memperoleh lebih pendapatan, simpan sedikit wang anda dalam produk simpanan seperti deposit tetap atau melabur dalam Amanah Saham Berhad (ASB) bagi menunjukkan aliran kewangan yang positif.
- Apabila berasa ragu-ragu, semak skor kredit anda
Sekiranya anda tidak pasti mengenai kedudukan kewangan anda sekarang dan ingin tahu kesihatan kewangan dengan lebih lanjut dapatkan semakan percuma menerusi
Skor Kredit atau platform penilaian kredit lain seperti
CTOS dan
My Credit Info.
Dengan memahami skor kredit, anda boleh perbaiki prestasi pembayaran semula kredit anda selama beberapa bulan sebelum anda mengemukakan permohonan pinjaman kepada bank. Ini mungkin dapat meningkatkan peluang anda mendapat kelulusan untuk pinjaman.
Sekarang anda boleh menyemak semula DSR anda sebelum memohon pinjaman daripada bank untuk meningkatkan peluang permohonan anda diluluskan. Tetapi jangan bimbang sekiranya permohonan anda ditolak oleh sesebuah bank – jangan putus asa! Setiap bank ada had DSR tersendiri jadi teruskan memohon daripada beberapa bank yang lain untuk mendapatkan pembiayaan yang anda perlukan.
📍 Peringatan: Kelayakan vs Kemampuan
Perlu dingatkan walaupun permohonan pinjaman anda diluluskan sedangkan DSR anda masih tinggi, sebaik-baiknya anda perlu menilai sama ada anda mampu untuk membayar pinjaman baharu ini selain komitmen hutang sedia ada yang lain. Ada perbezaan antara
kelayakan dan
kemampuan. Mungkin anda layak mendapat pinjaman baharu yang anda mohon ini tetapi anda mungkin tidak mampu membayarnya berdasarkan kepada pendapatan dan komitmen semasa anda.
Selagi anda berkemampuan, tidak salah untuk memandang ke hadapan. Sebagai contoh, anda mungkin sedang menanti ahli baharu dalam keluarga anda. Ini satu berita baik!
Namun anda juga perlu berhati-hati dengan perbelanjaan yang anda perlu bayar. Memandangkan komitmen pinjaman boleh mengambil masa daripada beberapa bulan hingga bertahun-tahun, anda perlu membuat penilaian sama ada wajarkah untuk mengambil pinjaman walaupun bank menyatakan anda layak meminjam pada masa ini.