Nak Anak Capai Potensi Diri, Ibu Ayah Perlu Tahu Cara Ini!

Bukan mudah untuk membesarkan serta mendidik anak-anak pada zaman sekarang. Dengan segala kecanggihan teknologi dan potensi mereka yang luar biasa, mudah untuk anak-anak berjaya atau sebaliknya. Sebagai ibu ayah, kita pasti menginginkan yang terbaik tetapi pada masa yang sama tidak mahu terlalu ‘memberi’ agar anak-anak menjadi lebih berdikari dan bijak menangani masalah.

Untuk mendidik anak-anak, pastikan ia bermula sejak mereka masih kecil umpama kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika diasuh sejak awal, anak-anak akan lebih mudah memahami dan terlatih menjadi individu yang positif. Perwatakan serta peribadi yang dibentuk sedari kecil dapat membantu anak-anak mencapai potensi terbaik dalam diri mereka. Kata orang bila nak mendidik biarlah ada sifat tegas tetapi pada masa yang sama penyayang agar anak-anak rasa disayangi dan dihargai.

img-2.jpgSumber foto: www.shutterstock.com

Amalkan asuhan cara demokratik di mana ibu ayah boleh menetapkan hala tuju anak-anak tetapi pada masa yang sama turut memberi mereka ruang untuk menzahirkan pendapat sendiri terutamanya ketika membuat sesuatu keputusan. Cara ini dapat melatih mereka berfikir apa yang terbaik serta mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

Ibu ayah yang baik adalah apabila mereka mampu menjadi pembimbing dan penasihat tetapi pada masa yang sama meraih rasa hormat dan kepercayaan anak. Ada beberapa kaedah untuk mendidik anak-anak menjadi individu positif dan cemerlang tanpa perlu memberi tekanan berat kepada mereka. Antaranya adalah:

Jangan Kedekut Bila Nak Support Minat Anak!

Anak-anak zaman sekarang mempunyai potensi luar biasa dan berani untuk menunjukkan kemampuan mereka. Sebagai ibu ayah, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memberi semangat bagi mendorong minat serta hobi anak supaya mereka dapat melakukan yang terbaik.

Setiap anak mempunyai minat atau hobi tersendiri, jangan sesekali memandang rendah atau memperlekehkan mereka. Setiap minat anak jika digilap dan dirangsang akan membentuk keyakinan diri serta membuatkan mereka rasa ‘berharga’. Oleh itu, teruskan memberi sokongan kepada anak-anak untuk memantapkan diri dalam setiap yang diusahakan.

Sebagai contoh, anak yang sukakan sukan bola sepak. Dengan sokongan yang diberikan, dapat mendorong mereka untuk berusaha lebih kuat sehingga berjaya menjadi pemain bola sepak profesional. Sekiranya tidak sekalipun, sepanjang dia membesar dan ‘menguasai’ sukan ini sebenarnya sikit banyak dapat membentuk nilai murni dalam diri mereka seperti disiplin, menghormati masa serta semangat setia kawan.

img-3.jpgSumber foto: www.shutterstock.com

Sebenarnya di samping menyokong hobi atau minat anak ni, kita juga boleh juga ajar sesuatu yang berharga kepada mereka seperti kepentingan menabung. Katakan kepada mereka tak salah untuk meminati sesuatu, tetapi harus belajar menyimpan duit sendiri. Jadi bolehlah gunakan duit simpanan itu untuk beli barang yang diperlukan untuk hobi mereka.

Sebagai ibu ayah, kita mulakan simpanan ni dengan mewujudkan tabung khas dahulu. Kita menabung bersama-sama mereka, barulah anak makin semangat nak kumpul duit kan!

Tak Buat Semua Keputusan Untuk Anak

Sememangnya semua ibu menginginkan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi pada masa yang sama perlu beri ruang kepada mereka untuk menyuarakan pendapat. Anak-anak sekarang mempunyai rancangan sendiri dan sudah tahu apa yang mereka inginkan. Sebagai ibu ayah, cuba dengar dahulu keinginan mereka dan beri galakan. Jangan halang anak-anak untuk berkongsi minat mereka dengan kita.

Ambil tahu potensi anak supaya kita dapat memberi sokongan dengan cara terbaik. Tidak boleh dinafikan, ada perancangan anak-anak ini telah disusun dengan teliti dan mereka tahu apa yang mahu dibuat. Menjadi ibu ayah yang berfikiran terbuka dapat menggalakkan anak-anak untuk lebih teruja untuk melakukan yang terbaik.

img4.jpgSumber foto: www.shutterstock.com

Jadilah pendengar yang baik dan jadilah pembimbing untuk merealisasikan impian mereka. Menentukan apa yang perlu dilakukan tanpa mempertimbangkan pendapat anak-anak hanya akan membuatkan mereka merasa lemah semangat dan tidak mahu mencapai potensi yang terbaik. Sayanglah kalau macam tu kan, paling risau kalau anak memberontak kerana merasakan suara mereka tidak didengari ibu ayah.

Beri ‘Ganjaran’ Tapi Tak Berlebihan

Sudah menjadi lumrah anak-anak, mereka akan teruja dan gembira sekiranya mendapat perhatian dari ibu ayah mereka. Berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan apabila berjaya, mereka mengharapkan ibu ayah beri penghargaan. Tak salah kita rasa bangga dan berikan pujian kepada anak-anak.

Nak hargai usaha anak ni mudah je, kata-kata positif seperti “Kalau kakak tolong kemas rumah, ibu akan berikan upah RM10. Bolehlah kakak simpan dalam tabung.” Dengan cara ini, anak-anak lebih seronok dan belajar untuk dapatkan sesuatu, mereka perlu berusaha. Bukan manjakan anak, tetapi penghargaan berbentuk wang ini sebenarnya boleh didik mereka untuk lebih menghargai setiap apa yang mereka usahakan.

img-5.jpgSumber foto: www.shutterstock.com

Selain pujian, pemberian hadiah juga dapat menaikkan lagi semangat mereka. Tak perlu berkira, teruskan menyokong anak-anak tetapi usah berlebihan. Selain kata pujian atau hadiah, berilah kata-kata semangat kepada mereka. Dengan itu, ia dapat membuatkan mereka terus mahu berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

Sebagai ibu ayah, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik dan membimbing anak-anak. Sekiranya mereka ada buat salah, tegurlah secara berhemah. Usah dimarah tetapi jelaskan kepada anak mengapa anda perlu tegas untuk menegur kesalahan yang dibuat. Dengan cara ini, anak akan faham kesan perbuatan mereka tetapi mereka juga akan belajar mengapa ia salah dan tak sepatutnya dibuat.

Tak Abaikan Soal Kewangan

Ibu ayah harus peka memikirkan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka. Bukan mudah untuk survive dalam zaman yang mencabar, di mana semua perkara memerlukan wang. Sebab itulah, perancangan kewangan perlu dibuat bagi memudahkan anak-anak untuk meneruskan pembelajaran dan sebagainya.

Ajar pada anak tentang kepentingan menyimpan dari awal. Didiklah anak-anak untuk menghargai nilai wang dan kepentingan untuk berbelanja secara bijak. Kalau nak ajarkan anak-anak tentang kewangan ni, kena ada caranya yang menarik dan mudah difahami.

Sebenarnya dari kecil lagi ibu ayah dah boleh dedahkan kepada anak-anak tentang kewangan. Terangkan mengenai pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan insurans. Cara paling mudah, fahamkan anak-anak bahawa ibu ayah bekerja untuk menjana pendapatan masa depan keluarga.

Apabila keluar di hari minggu bersama mereka selitkan cerita bagaimana proses perbelanjaan di luar rumah. Ketika di rumah pula, boleh ceritakan mengenai menabung, jelaskan kepentingan memulakan simpanan. Bukankah melalui pendedahan awal sebegini memberi kesan yang baik kepada anak-anak sekalian?

img-6.png

Melalui laman mikro Sedia Payung Kewangan yang dibawakan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), ibu ayah dapat melihat pelbagai pengisian kandungan kewangan dalam bentuk artikel dan video mengenai pendedahan pentingnya membuat persediaan kewangan untuk situasi tidak diduga kepada anak-anak.

Paling menarik ibu ayah boleh gunakan Kalkulator SPK untuk lihat kedudukan kewangan setiap bulan. Ia juga membantu mengira tabung kecemasan, kerana melalui kiraan tersebut ibu ayah boleh lihat jumlah simpanan kecemasan yang disasarkan mengikut tahap kemampuan dan tempoh yang diinginkan. Jadi apa lagi cuba gunakan Kalkulator SPK secara percuma dan mulakan simpanan kecemasan sekarang!

img-7.png

Untuk pengetahuan ibu ayah juga, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) ialah sebuah agensi Kerajaan yang memberi perlindungan ke atas simpanan bank dan manfaat insurans dan takaful anda sekiranya ahli institusi PIDM muflis. Maklumat lanjut mengenai perlindungan PIDM layari www.pidm.gov.my

Oleh itu ayuh ibu ayah, masih belum terlambat untuk kita perbetulkan dan terapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak kita untuk mencapai tahap potensi diri yang kita mahukan. Didiklah dan berilah pendedahan realiti kehidupan sebenar kepada anak-anak, memang benar wang bukan segalanya tetapi dengan wang boleh memberi kententeraman jiwa dalam kehidupan.

Share to