PIDM Memperkukuh Daya Tahan Resolusi Menerusi Tiga Inisiatif Utama

21/09/2026
PIDM Memperkukuh Daya Tahan Resolusi Menerusi Tiga Inisiatif Utama

Kuala Lumpur, 22 September 2026: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan tiga inisiatif di Dialog Industri bersama bank-bank ahli, bagi memperkukuh persediaan institusi ahli untuk menyokong PIDM dalam pelaksanaan resolusi.

Inisiatif tersebut merangkumi Rangka Kerja Penilaian Kebolehselesaian (Resolvability Assessment Framework – RAF), perjanjian kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta penerbitan sulung Data Pulse oleh PIDM.

“Inisiatif ini menandakan fasa seterusnya bagi memperkukuh agenda kesediaan resolusi PIDM di bawah Rancangan Korporat PIDM 2026 – 2028. Secara keseluruhannya, usaha ini memperkukuh daya tahan resolusi institusi ahli dengan menyokong pelaksanaan resolusi secara teratur melalui jangkaan yang lebih jelas, kerjasama yang lebih erat serta data yang lebih mantap. Objektif kami bukan sahaja berkaitan keupayaan untuk melaksanakan tindakan resolusi, tetapi juga memastikan kredibiliti untuk melaksanakannya dengan efektif apabila diperlukan,” kata Afiza Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

RAF bermatlamat mempertingkatkan tahap keboleselesaian bank-bank ahli dengan menetapkan jangkaan yang jelas bagi membolehkan pelibatan lebih berstruktur dalam aspek persediaan resolusi. Perjanjian kerjasama PIDM dengan PayNet pula melengkapi usaha ini dengan memastikan akses berterusan kepada infrastruktur pembayaran kritikal semasa pelaksanaan resolusi, yang merupakan pemangkin penting kepada pelaksanaan resolusi yang efektif dan teratur. Data Pulse seterusnya mengukuhkan usaha ini dengan menyediakan dapatan berasaskan data mengenai kesejahteraan kewangan, simpanan dan daya tahan isi rumah untuk menyokong penggubalan dasar berasaskan maklumat serta sistem kewangan yang lebih berdaya tahan.

“Daya tahan merupakan suatu usaha kolektif. Institusi yang bersedia, dasar yang berasaskan maklumat serta infrastruktur yang bersifat kolaboratif adalah sebahagian daripada agenda daya tahan kebangsaan. Saya amat berbesar hati melihat PIDM menggabungkan kesemua elemen tersebut,” kata YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, dalam ucaptama beliau pada sesi dialog tersebut, yang mana turut menyaksikan pelancaran Data Pulse.

Sesi dialog tersebut turut menampilkan pelancaran ‘RAF intelligence’ (RAFi) – iaitu aplikasi dipacu kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu bank ahli memahami dan memenuhi keperluan kebolehselesaian. Pelancaran ini diikuti dengan sesi perbincangan panel bersama pakar bagi menyokong kesediaan industri menjelang pelaksanaan RAF.

Dialog Industri PIDM merupakan forum tahunan bersama kepimpinan kanan institusi ahli untuk membincangkan perkembangan industri, cabaran baharu yang muncul serta bidang kolaborasi bagi memperkukuh daya tahan resolusi. Satu lagi sesi dialog bersama ahli penginsurans akan diadakan pada 23 September 2026.

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia