KUALA LUMPUR: Biarpun krisis kewangan jarang berlaku, namun jika ia terjadi, impaknya terhadap sistem perbankan dan konsumer mungkin amat besar.
Justeru, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sentiasa bersedia memainkan peranan penting bagi memastikan rakyat terus mempunyai akses kepada wang simpanan mereka, walaupun bank tersebut tidak lagi boleh beroperasi.
Ditubuhkan pada 5 September 2005, peranan PIDM telah berkembang sepanjang dua dekad, selaras dengan keperluan zaman.
PIDM juga membentuk jaringan keselamatan kewangan negara bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.
Melindungi simpanan dan memastikan perkhidmatan perbankan terus beroperasi
PIDM melindungi simpanan pendeposit di setiap bank ahli meliputi akaun deposit perbankan Islam dan konvensional melalui Sistem Insurans Deposit.
Pada 2011, had perlindungannya dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli.
Dalam tahun yang sama, PIDM turut memperkenalkan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans bagi melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans.
Mulai 2023, perlindungan ini diperluaskan kepada bank digital bagi memastikan simpanan di institusi perbankan baharu turut dilindungi.
Sekiranya sebuah bank ahli tidak lagi mampu beroperasi, PIDM akan mengambil langkah segera untuk memastikan perkhidmatan perbankan kritikal terus berjalan.
Bayangkan sekiranya sesebuah bank ahli PIDM tidak lagi mampu beroperasi. PIDM mempunyai kuasa untuk melaksanakan resolusi.
Antara caranya termasuk memindahkan akaun simpanan dan perkhidmatan pembayaran bank tersebut ke bank pengantara yang sihat.

Dengan ini, pendeposit masih boleh terus mengakses wang untuk membuat pengeluaran dan pembayaran tanpa gangguan kepada kehidupan harian mereka.
Lebih penting, langkah ini juga dapat memelihara kestabilan sistem kewangan negara.
Secara dalaman, PIDM juga sentiasa menjalankan simulasi krisis.
Bersama bank ahlinya pula, PIDM telah membangunkan pelan tersuai untuk setiap bank supaya jika berlaku kegagalan operasi, langkah penyelesaian seperti pengambilalihan, penstrukturan semula atau penjualan aset dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan bagi meminimumkan gangguan kepada penyimpan serta mengekalkan keyakinan orang awam.
Pendidikan kewangan
Bermula 2020, PIDM turut memperluaskan peranannya dalam memperkasakan literasi kewangan melalui pelbagai kempen digital, kandungan bersegmen dan kerjasama dengan jaringan pendidikan kewangan negara (FEN).
Usaha ini menyasarkan golongan belia, profesional, guru dan komuniti yang mempunyai cabaran kewangan tersendiri.
Seruan kepada konsumer kewangan
Sempena ulang tahunnya yang ke-20, PIDM turut melancarkan sebuah video baharu untuk mendidik konsumer kewangan tentang peranannya.
PIDM turut memberi nafas baharu kepada laman web www.pidm.gov.my, supaya lebih mesra konsumer dan menumpukan kepada perkara yang penting iaitu bagaimana mereka dilindungi oleh PIDM dan langkah yang boleh diambil sekiranya berdepan situasi yang menjejaskan wang mereka seperti penipuan kewangan.
Konsumer yang memahami peranan PIDM akan lebih bijak, yakin dan tenang dalam membuat keputusan kewangan, meskipun berdepan khabar angin atau isu berkaitan kestabilan sesebuah bank.
Untuk maklumat lanjut dan menonton video tersebut, orang ramai boleh melayari www.pidm.gov.my.