Lindungi simpanan rakyat Malaysia

02/10/2025
Lindungi simpanan rakyat Malaysia

Dalam dunia kewangan yang semakin canggih, keselamatan wang simpanan menjadi perhatian utama. Dari penipuan siber hingga cabaran ekonomi yang boleh membawa kepada krisis kewangan, pengguna kini semakin peka terhadap pentingnya perlindungan kewangan.

Walaupun kes bank muflis jarang kedengaran di negara ini, risiko tetap wujud. Jika senario itu berlaku, orang ramai tidak perlu panik kerana Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) iaitu pihak berkuasa kerajaan adalah benteng perlindungan kepada simpanan dan manfaat takaful serta insurans rakyat.

Ditubuhkan pada 5 September 2005, PIDM diberi mandat di bawah Akta PIDM untuk melindungi sesiapa sahaja yang mempunyai deposit bank, sijil takaful dan polisi insurans dengan institusi ahli PIDM.

Lebih menarik, perlindungan ini adalah percuma dan automatik, tiada pendaftaran atau yuran diperlukan. Selama dua dekad, PIDM diberi mandat untuk melindungi pendeposit dan melaksanakan tindakan resolusi sekiranya berlaku kegagalan bank ahli bagi memastikan gangguan minimum ke atas sistem kewangan dan pengguna.

Ini bermakna, jika berlaku kegagalan bank, pengguna masih boleh mengakses kemudahan bank seperti perbankan dalam talian, aplikasi mudah alih, pengeluaran wang di ATM, dan menerima wang atau membayar pinjaman.

Perlindungan PIDM merangkumi dua sistem utama iaitu Sistem Insurans Deposit untuk pendeposit bank dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans untuk pemegang sijil takaful dan polisi insurans. Dengan ini, pengguna boleh berurusan tanpa kebimbangan terhadap kehilangan simpanan dan manfaat yang dimiliki.

Selari dengan peredaran masa, keahlian PIDM turut merangkumi bank digital, selaras dengan usaha memastikan deposit atau akaun simpanan di bank digital juga dilindungi.

Bersama Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, PIDM membentuk jaringan keselamatan kewangan negara. Ketiga-tiga agensi ini mempunyai peranan berbeza, tetapi saling melengkapi demi memastikan kestabilan sistem kewangan Malaysia.

Selain menjadi 'perisai' kepada simpanan rakyat, PIDM juga aktif melaksanakan program pendidikan kewangan yang berterusan. Sama ada melalui saluran komunikasi rasmi atau kolaborasi dengan rakan kongsi dalam Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), usaha ini bertujuan membantu orang ramai untuk membina tabiat kewangan yang lebih baik dan mempunyai pengetahuan sebagai persediaan dalam menghadapi cabaran kewangan.

Walaubagaimanapun, tidak semua produk bank berada di bawah perlindungan PIDM. Hanya produk deposit seperti akaun simpanan konvensional dan Islam, akaun semasa serta simpanan tetap yang dilindungi. Ini kerana keutamaan PIDM adalah untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat Malaysia.

Produk seperti pinjaman, kad kredit, unit amanah, pelaburan emas dan mata wang kripto tidak termasuk dalam perlindungan PIDM.

Mengetahui produk yang dilindungi atau tidak adalah penting supaya pengguna boleh membuat keputusan kewangan dengan bijak, menilai tahap risiko dan memberi keutamaan pada faktor seperti perlindungan PIDM mengikut keperluan dan tahap toleransi risiko masing-masing.

Ia juga menjadikan pengguna lebih berwaspada dan dapat mengelakkan penipuan. Contohnya, jika pengguna tahu perlindungan PIDM adalah percuma dan automatik, mereka akan lebih berhati-hati dan tidak akan mudah terpedaya dengan pihak yang mempromosikan produk atau perkhidmatan kewangan yang menuntut bayaran untuk mendapatkan perlindungan ini.

Tahun ini, genap 20 tahun PIDM menjadi 'pelindung' pengguna kewangan dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara. Sempena ulang tahun ini, PIDM melancarkan video baharu bagi mendidik masyarakat mengenai peranannya dalam melindungi dan memastikan akses berterusan pengguna kewangan kepada wang mereka sekiranya bank tidak lagi boleh beroperasi.

Selain itu, laman sesawang PIDM iaitu www.pidm.gov.my turut dikemas kini dengan paparan yang lebih mesra pengguna dan memberi tumpuan kepada maklumat penting, termasuklah maklumat mengenai perlindungan PIDM.

Dengan memahami peranan PIDM, pengguna akan lebih tenang dan yakin bahawa simpanan mereka akan sentiasa dilindungi. Walaupun timbul khabar angin mengenai institusi ahli PIDM, mereka tahu ada pihak berkuasa yang berfungsi di belakang tabir untuk memastikan akses kepada wang mereka kekal terjamin.

Untuk menonton video ini dan maklumat lanjut, layari www.pidm.gov.my.