Bagi kebanyakan rakyat, bank-bank di Malaysia bukan sekadar institusi kewangan. Ia dianggap sebagai tempat selamat dan dipercayai untuk menyimpan hasil titik peluh dan simpanan seumur hidup mereka.
Peraturan tersedia untuk memastikan deposit kita selamat. Terdapat juga mekanisme untuk membantu memulihkan institusi kewangan yang bermasalah.
Namun, sekiranya bank masih tidak dapat bertahan walaupun semua langkah pemulihan telah diambil, masih ada jaringan keselamatan yang memastikan pendeposit boleh terus mengakses wang di bank atau mendapatkan kembali wang simpanan mereka.
Jaringan keselamatan ini adalah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), sebuah badan berkuasa kerajaan yang matlamat utamanya adalah untuk melindungi pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans.
Mungkin tidak diketahui umum, tetapi sistem perlindungan deposit PIDM hanya diasaskan selepas berlakunya krisis kewangan yang menjejaskan kebanyakan negara di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara pada hujung dekad 1990-an.
Sempena ulang tahun PIDM yang ke-20, inilah masa yang sesuai untuk menyingkap kembali peristiwa yang membawa kepada penubuhan PIDM dan bagaimana kami akan terus melindungi pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans secara menyeluruh dan dengan penuh keyakinan.
Bagaimana ia bermula
Ketika Krisis Kewangan Asia 1997-1998 melanda, mata wang kita antara yang pertama terkesan. Kejatuhan nilai ringgit telah meningkatkan kos import, sekali gus menyebabkan banyak syarikat terpaksa gulung tikar.
Khabar angin bahawa bank-bank telah gagal untuk memenuhi obligasi mereka terhadap pendeposit tersebar luas, menyebabkan orang awam berasa bimbang.
Kerajaan ketika itu telah bertindak pantas. Pada tahun 1998, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd ditubuhkan untuk mengambil alih pinjaman tidak berbayar (non-performing loans – NPL) dalam sistem perbankan, dan Danamodal Nasional Bhd diwujudkan untuk memodalkan semula dan seterusnya mengukuhkan sektor perbankan.
Setelah mandat masing-masing disempurnakan beberapa tahun kemudiannya, kedua-dua entiti tersebut ditutup – Danamodal pada bulan Februari 2004 dan Danaharta pada bulan Disember 2005.
Pujian daripada Bank Dunia atas kejayaan kita dalam membendung krisis kewangan adalah penamat yang manis dalam perjalanan mengharungi suatu tempoh yang mencabar. Ianya menjadi lebih luar biasa memandangkan keputusan kita di peringkat awal untuk tidak tunduk kepada strategi yang ditawarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF).
Iktibar daripada tempoh kegawatan itu terus mencorakkan tugas yang kami lakukan di PIDM pada hari ini. Krisis tersebut mengajar kita bahawa langkah yang teragak-agak akan membawa padah yang besar. Dalam krisis, tindakan pantas untuk melindungi pendeposit adalah langkah yang paling utama.
Kami juga menyedari bahawa landskap kewangan global berkembang sangat pantas. Untuk sentiasa bersedia, kami perlu terus memperkukuh rangka kerja, infrastruktur dan keupayaan kami untuk melindungi konsumer kewangan dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan. Perkara inilah yang menjadi tunjang kepada Pelan Induk Sektor Kewangan 2001 – 2010 dan penubuhan PIDM pada tahun 2005.
Tugas pertama PIDM adalah untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit bagi melindungi pendeposit. Lima tahun kemudiannya, peranan kami diperluaskan untuk mentadbir Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, yang meliputi perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans. Had perlindungan bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli juga dinaikkan kepada RM250,000 daripada hanya RM60,000 pada awalnya.
Sehingga hari ini, kami telah mengumpul dana sebanyak RM7 bilion untuk pelaksanaan resolusi ke atas mana-mana institusi kewangan ahli yang gagal, sekiranya perlu. Namun begitu, syukur ke hadrat Ilahi kerana sepanjang tempoh 20 tahun sejak PIDM ditubuhkan, belum ada lagi keperluan bagi kami untuk mengambil tindakan sedemikian.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan kejayaan lampau.
Melangkah ke hadapan
Sejak penubuhan PIDM, landskap perbankan telah berubah dengan ketara. Kemunculan teknologi membuka pelbagai kemungkinan baharu, dan pada masa yang sama mendedahkan kita kepada risiko baharu.
Sebagai contoh, pengeluaran besar-besaran daripada simpanan bank dahulunya akan mengambil masa berhari-hari sebelum semua wang habis dikeluarkan. Kini, seperti yang telah kita lihat dalam kes kegagalan Silicon Valley Bank dan Credit Suisse – ia hanya mengambil masa selama beberapa jam sahaja.
Oleh itu, semua pihak berkepentingan perlu sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kunci yang menyatukan segala-galanya adalah perancangan resolusi – 'persediaan awal' (living will) tersuai yang dirangka oleh PIDM bersama bank-bank ahli ketika operasi berjalan seperti biasa sebagai sebahagian daripada usaha perancangan awal dan persediaan menyeluruh PIDM.
Kita mesti terus mempertingkatkan keupayaan dan kami menggesa semua pihak berkepentingan untuk menjejaki langkah yang sama.
Bagi PIDM, peranan berterusan kami dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah adalah untuk membina kesediaan supaya kami boleh bertindak dengan pantas, yakin dan efektif sekiranya perlu.
Dua puluh tahun bukanlah masa yang lama, tetapi ia sudah cukup untuk membentuk identiti kami pada hari ini. Dan kami akan terus menjadi pelindung yang berkhidmat untuk rakyat Malaysia selama berdekad-dekad yang akan datang.
Dato Sri (Dr) Zukri Samat ialah Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.