Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Dilantik Menyertai Majlis Deposit Insurans Antarabangsa

11/11/2026
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Dilantik Menyertai Majlis Deposit Insurans Antarabangsa

Kuala Lumpur, 11 November 2026: Malaysia akan memainkan peranan dalam membentuk usaha global untuk melindungi pendeposit dalam landskap perbankan yang semakin berubah susulan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Afiza Abdullah, ke Majlis Eksekutif International Association of Deposit Insurers (IADI).

Afiza telah dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan dan Persidangan Tahunan IADI ke-25 yang berlangsung di Jerman dari 26 hingga 30 Oktober. Majlis Eksekutif tersebut berperanan menetapkan hala tuju strategik IADI, iaitu badan penetapan standard global bagi sistem insurans deposit yang terdiri daripada 110 ahli penginsurans deposit dari seluruh dunia.

Pelantikan ini memberi peluang kepada PIDM untuk menyumbang pengalaman dan perspektif Malaysia dalam perbincangan dasar di peringkat antarabangsa, di samping memanfaatkan amalan serta pengalaman global dalam memperkukuh perlindungan pendeposit dan persediaan menghadapi krisis di Malaysia.

“Sebagai penginsurans deposit, kami perlu sentiasa peka dengan perubahan sistem kewangan. Kerjasama antarabangsa membolehkan kami belajar antara satu sama lain, agar pengetahuan tersebut dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh perlindungan di Malaysia,” kata Afiza Abdullah.

“Saya berbesar hati atas keyakinan yang diberikan oleh ahli IADI dan berharap dapat berkongsi pengalaman PIDM serta mempelajari amalan terbaik daripada rakan-rakan sejawat di seluruh dunia demi memperkukuh perlindungan pendeposit dan kestabilan kewangan di Malaysia.”

Pada persidangan tersebut, Afiza turut menyertai sesi perbincangan panel bertajuk “What is a Deposit? The Insurable Claim and the Boundaries of the Financial Safety Net”, di mana beliau berkongsi pandangan Malaysia mengenai perkembangan dalam perlindungan deposit. Perbincangan tersebut meneliti bagaimana pendigitalan dan inovasi kewangan kini mempengaruhi landskap insurans deposit serta skop perlindungan kepada pendeposit.

Keutamaan kerja IADI bagi tahun 2027 tertumpu kepada usaha menyokong pelaksanaan yang konsisten terhadap Core Principles for Effective Deposit Insurance Systems, memperkukuh daya tahan sistem insurans deposit dalam era digital serta meningkatkan persediaan menghadapi krisis. Program kerja tahunan ini merupakan program pertama yang dilaksanakan di bawah Matlamat dan Objektif Strategik IADI 2026 – 2031.

Bidang-bidang tumpuan ini selaras dengan Rancangan Korporat PIDM 2026 – 2028 yang bertemakan “Daripada Kesediaan kepada Daya Tahan”. Fokus terhadap daya tahan digital menyokong penggunaan teknologi dan data bagi mempertingkatkan kecekapan serta proses membuat keputusan, manakala usaha memperkukuh persediaan krisis membantu menterjemahkan Core Principles for Effective Deposit Insurance Systems IADI kepada keupayaan bertindak secara efektif apabila perlu.

Usaha-usaha ini juga menyokong persediaan PIDM menghadapi Program Penilaian Sektor Kewangan (Financial Sector Assessment Program – FSAP) Malaysia yang akan dilaksanakan bersama oleh International Monetary Fund dan Bank Dunia. FSAP menyediakan penilaian bebas terhadap daya tahan sistem kewangan serta keupayaannya untuk mengurus krisis, sekali gus memberi peluang untuk mengenal pasti jurang penambahbaikan dan terus memperkukuh jaringan keselamatan kewangan Malaysia bagi melindungi konsumer kewangan.