Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menerbitkan Laporan Tahunan 2025 yang menandakan dua pencapaian penting: penyempurnaan Rancangan Korporat 2023 – 2025 yang bertemakan ‘Merealisasikan Kesediaan’ serta ulang tahun ke-20 operasinya.
Laporan tersebut mengetengahkan usaha PIDM dalam memperkukuh perlindungan konsumer kewangan, kesediaan resolusi, keupayaan organisasi dan pelibatan pihak berkepentingan, di samping meletakkan asas bagi fasa strategik seterusnya menerusi Rancangan Korporat 2026 – 2028 yang bertemakan ‘Daripada Kesediaan kepada Daya Tahan’.
Pada tahun 2025, PIDM telah memperkukuhkan kesediaan resolusi melalui kerjasama yang lebih erat dengan industri dan agensi berkaitan. Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk penganjuran Simposium Resolusi Kebangsaan yang ketiga, iaitu acara utama PIDM bagi penginsurans deposit dan peserta jaring keselamatan kewangan; Muzakarah berkaitan resolusi kegagalan institusi kewangan Islam yang kedua; serta penambahbaikan lanjut terhadap Rangka Kerja Penilaian Kebolehselesaian dan rangka kerja persediaan yang berkaitan.
PIDM turut memperluaskan usaha pelibatan awam bagi meningkatkan pemahaman mengenai sistem perlindungannya dan peranannya sebagai pihak berkuasa resolusi. Tahap kesedaran awam meningkat kepada 79% (2024: 75%), manakala tahap advokasi meningkat kepada 67% (2024: 56%). Sebagai salah satu pengasas Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network – FEN), PIDM telah menyokong pembangunan dan pelancaran Strategi Kebangsaan bagi Literasi Kewangan 2026 – 2030 yang kedua. PIDM juga memperkenalkan bahan komunikasi baharu serta menambah baik laman web korporatnya.
Di peringkat serantau dan antarabangsa, PIDM terus memajukan amalan insurans deposit dan skim jaminan insurans melalui kepimpinan antarabangasa dan perkongsian strategik. Pada tahun 2025, PIDM telah memeterai Memorandum Persefahaman baharu dengan Deposit Protection Agency of Thailand serta memperkukuh pelibatan dua hala dengan Lembaga Penjamin Simpanan Indonesia. PIDM turut menyumbang kepada pembangunan dasar antarabangsa melalui peranannya sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Resolusi International Association of Deposit Insurers’ serta meneruskan penyertaannya dalam Jawatankuasa Kecil Perancangan Resolusi International Forum of Insurance Guarantee Schemes.
Laporan ini turut menggariskan kemajuan dalam pembangunan keupayaan organisasi, teknologi dan tadbir urus. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pelaksanaan Rangka Kerja Kompetensi dan Program Literasi Data bagi membentuk tenaga kerja yang dipacu data dan bersedia menghadapi masa depan; usaha berterusan dalam memperkukuh keselamatan siber dan keupayaan tindak balas insiden; serta pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi 2025 – 2029. PIDM juga terus menyumbang kepada komuniti tempatan melalui program Santuni MADANI, program literasi kewangan dan program biasiswa sarjana muda yang memberi manfaat kepada 20 orang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Bersempena ulang tahun ke-20 PIDM, laporan ini menampilkan segmen khas ‘Perjalanan Dua Dekad’, yang mengimbas kembali evolusi dan sumbangan PIDM dalam melindungi pendeposit serta pemilik polisi insurans dan sijil takaful, di samping memupuk keyakinan dan menggalakkan kestabilan sistem kewangan di Malaysia.
Melangkah ke hadapan, Rancangan Korporat 2026 – 2028 memberi tumpuan kepada empat keutamaan strategik, iaitu Daya Tahan Resolusi; Daya Tahan Perkongsian Strategik dan Hubungan Luar; Daya Tahan Digital; dan Daya Tahan Modal Insan. Keutamaan ini akan menjadi panduan kepada PIDM bagi melaksanakan mandatnya dalam persekitaran operasi yang semakin dinamik.