PIDM Lantik Afiza Abdullah Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

17/08/2026
PIDM Lantik Afiza Abdullah Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2026: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Afiza Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026. 

“Dengan kemantapan kepimpinan dan kepakaran yang dimiliki Afiza, Lembaga Pengarah yakin bahawa pelantikan beliau akan memastikan peralihan kepimpinan yang lancar serta kesinambungan dalam usaha penting PIDM untuk terus memperkukuhkan tahap kesediaan resolusi dan persediaan mendepani krisis. Kemajuan kerjaya beliau dalam organisasi ini juga mencerminkan kekuatan pembangunan bakat dan perancangan penggantian kepimpinan kami,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi PIDM. 

“Dalam persekitaran yang semakin mencabar dan tidak menentu, PIDM perlu terus menjadi sumber keyakinan kepada konsumer kewangan dengan memastikan mereka mendapat perlindungan yang berterusan menerusi jaring keselamatan kewangan yang teguh dan efektif. Lembaga Pengarah akan terus memberi kerjasama dan menyokong usaha Afiza dalam memimpin PIDM ke fasa seterusnya,” katanya lagi.

“Lembaga Pengarah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rafiz Azuan Abdullah atas kepimpinan cemerlang beliau selama sembilan tahun. Di bawah teraju beliau, PIDM kini berada pada kedudukan yang mantap untuk terus melaksanakan mandatnya pada masa depan.” 

Di bawah Akta PIDM, Ketua Pegawai Eksekutif dilantik oleh Menteri Kewangan atas syor Lembaga Pengarah PIDM. 

Afiza membawa lebih daripada dua dekad pengalaman dalam sektor perbankan dan insurans, merangkumi bidang kawal selia kewangan, pembangunan dasar, pengurusan krisis serta resolusi institusi kewangan. Beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan fungsi resolusi PIDM untuk institusi ahlinya, termasuk mengoperasikan rangka kerja Perancangan Pemulihan dan Resolusi bersama Bank Negara Malaysia serta memperkukuh koordinasi antara peserta jaring keselamatan kewangan Malaysia melalui pelaksanaan latihan simulasi krisis.

Sejak menyertai PIDM pada tahun 2011, Afiza telah menerajui pelbagai inisiatif strategik di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (Takaful and Insurance Benefits Protection System – TIPS). Antara sumbangan penting beliau ialah penambahbaikan terhadap Sistem Levi Berbeza berdasarkan risiko yang menggalakkan amalan pengurusan risiko yang wajar dalam kalangan ahli penginsurans, dan peraturan maklumat TIPS. 

Perkembangan kepimpinan beliau dalam PIDM daripada jawatan Pengurus Besar, Polisi dan Antarabangsa pada tahun 2016 kepada Naib Presiden Eksekutif, Resolusi pada tahun 2022 merupakan sebahagian daripada perancangan penggantian kepimpinan PIDM yang direncanakan secara teliti dan diketuai Lembaga Pengarah. 

Sebelum menyertai PIDM, Afiza berkhidmat hampir sedekad di Bank Negara Malaysia, dengan penglibatan dalam pembangunan dasar berhemat, pemodenan Akta Bank Negara Malaysia 2009 serta penggubalan Pelan Sektor Kewangan. 

Di peringkat antarabangsa, beliau turut memainkan peranan aktif dalam memajukan amalan insurans deposit, skim jaminan insurans dan resolusi institusi kewangan menerusi International Association of Deposit Insurers (IADI) dan International Forum of Insurance Guarantee Schemes (IFIGS). 

Melalui pelbagai peranan kepimpinan yang disandang beliau dalam organisasi berkenaan, PIDM telah menerima pengiktirafan dalam kalangan rakan sejawat antarabangsa atas usahanya dalam memperkukuh jaring keselamatan kewangan, persediaan krisis dan kesediaan resolusi. Afiza telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik IADI sejak tahun 2024, dan sebelum ini turut memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam IFIGS, termasuk sebagai Pengerusi pada tahun 2022.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia