PIDM Himpun 20 Negara Ahli APRC IADI di Kuala Lumpur

06/05/2026
PIDM Himpun 20 Negara Ahli APRC IADI di Kuala Lumpur

Penginsurans deposit serantau perkukuh persediaan krisis dan pengaturan jaring keselamatan kewangan masa depan 


Kuala Lumpur, 6 Mei 2026: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menganjurkan Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Antarabangsa Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (Asia Pacific Regional Committee – APRC) International Association of Deposit Insurers (IADI) ke-24 di Kuala Lumpur dari 5 hingga 6 Mei 2026. Acara ini menghimpunkan penginsurans deposit dan pihak berkuasa resolusi dari lebih 20 negara di seluruh rantau Asia Pasifik. 

Berlangsung selama dua hari, program ini dimulakan dengan Mesyuarat Tahunan IADI APRC dan Mesyuarat Agung Tahunan, serta diakhiri dengan persidangan antarabangsa. Program ini menyediakan platform untuk ketua dan wakil kanan bertukar perspektif dalam memperkukuh persediaan krisis, operasi dan keyakinan pendeposit ketika persekitaran kewangan global menjadi semakin kompleks dan tidak menentu.  

“Dalam mendepani cabaran struktur dan geopolitik yang semakin meningkat, ketangkasan, keupayaan membuat keputusan berasaskan data, serta pendekatan berpandangan jauh adalah penting bagi mengekalkan keyakinan dan memelihara kestabilan sistem kewangan,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM

“Sebagai Naib Pengerusi IADI APRC, PIDM kekal komited untuk memperkasa kerjasama serantau dan pembelajaran bersama rakan penginsurans deposit lain. Penganjuran mesyuarat dan persidangan ini mencerminkan dedikasi kami dalam menyokong jaring keselamatan kewangan serantau yang berdaya tahan dan terselaras dengan baik, terutamanya dengan dwiperanan kami sebagai pihak berkuasa perlindungan konsumer kewangan dan pihak berkuasa resolusi di Malaysia.” 

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, yang menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuhkan tahap persediaan serta keupayaan tindak balas krisis oleh penginsurans deposit dan pihak berkuasa resolusi. 

Perbincangan turut meneliti bagaimana IADI Core Principles for Effective Deposit Insurance Systems yang disemak semula, selaku standard antarabangsa bagi sistem insurans deposit, boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan tahap kesediaan operasi dan pengurusan krisis. Para peserta mempertimbangkan penggunaan pandangan berasaskan data, teknologi baharu, serta pendekatan praktikal bagi meminimumkan gangguan terhadap akses pendeposit dan perkhidmatan perbankan yang penting semasa situasi krisis. 

Tema-tema ini diperkukuh melalui sesi interaktif dan praktikal yang memberikan pendedahan secara langsung kepada para peserta terhadap cabaran pengurusan krisis, serta pendekatan penyelesaian masalah yang inovatif dan relevan bagi penginsurans deposit dan pihak berkuasa resolusi. 

IADI ialah badan penetap standard global bagi sistem insurans deposit yang ditubuhkan pada tahun 2002 dan mempunyai 109 ahli. PIDM telah menjadi ahli IADI sejak penubuhannya pada tahun 2005 dan terus memainkan peranan penting dalam forum dua hala serta pelbagai hala, menyumbang kepada wacana global dan serantau di samping memanfaatkan pertukaran pengetahuan dalam bidang insurans deposit, skim jaminan insurans, resolusi dan pengurusan krisis. APRC merupakan sebuah jawatankuasa serantau di bawah IADI. 

Untuk maklumat lanjut tentang peranan PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi Malaysia dan usahanya untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan, sila layari www.pidm.gov.my


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia