Kuala Lumpur, 17 November 2025: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, berkuat kuasa 15 November 2025. Beliau menggantikan Dato Sri (Dr) Zukri Samat yang telah bersara daripada barisan Lembaga Pengarah.
Datuk Abu Huraira mempunyai pengalaman kepimpinan yang luas dalam sektor awam dan industri kewangan dengan kepakaran dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Berhad, serta memegang pelbagai jawatan utama di institusi kewangan di Malaysia, termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah United Overseas Bank (M) Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional.
Datuk Abu Huraira kini merupakan Pengerusi MISC Berhad, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn. Bhd. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) daripada Universiti Malaya.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, “Bagi pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PIDM, kami mengalu-alukan pelantikan Datuk Abu Huraira sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Dengan pengalaman luas beliau serta peranan dan kepimpinan dalam pelbagai organisasi penting, Datuk Abu Huraira dapat menyumbang kepada hala tuju strategik dan kemantapan tadbir urus PIDM ke arah memenuhi mandatnya dalam menggalakkan kestabilan sistem kewangan.”
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato Sri (Dr) Zukri Samat atas kebijaksanaan, pandangan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi PIDM. Kami mengharapkan yang terbaik dalam segala urusan beliau di masa depan,” tambah Rafiz.
Dengan pelantikan ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terkini adalah:
• Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
• Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
• Datuk Johan Mahmood Merican (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
• Datuk Dr Yacob Mustafa
• Encik Razali Othman
• Dato Dr Nik Ramlah Mahmood
• Dato’ Dr Gan Wee Beng
• Puan Gloria Goh Ewe Gim
• Encik Lee Kong Eng
Issued by:
Corporate Communication Department,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.