Kuala Lumpur, 4 Februari 2026: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah mengumumkan pelantikan Encik Toi See Jong sebagai ahli Lembaga Pengarah PIDM, berkuat kuasa 3 Februari 2026.
Encik Toi See Jong memiliki lebih 30 tahun pengalaman serantau dalam bidang insurans dan aktuari, serta pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan di Malaysia, Singapura, China dan Hong Kong.
“Kami amat mengalu-alukan pelantikan Encik Toi See Jong sebagai ahli Lembaga Pengarah. Pengalaman luas serta latar belakang kepimpinan beliau akan mengukuhkan lagi kepakaran kolektif barisan Lembaga Pengarah. Kami yakin beliau akan memberi sumbangan besar kepada usaha berterusan kami untuk mempertingkatkan tadbir urus, keberkesanan operasi dan keupayaan bagi melaksanakan mandat PIDM,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi PIDM.
Sebelum ini, Encik Toi pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd., selain pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia. Beliau juga merupakan bekas ahli Lembaga Pengarah Malaysian Rating Corporation Berhad. Encik Toi memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian Sains Aktuari Statistik (Kepujian) dari Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland dan merupakan Felo Fakulti Aktuari, Scotland.
Datuk Abu Huraira juga turut merakamkan penghargaan Lembaga Pengarah kepada Puan Gloria Goh Ewe Gim yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 2 Februari 2026.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Gloria Goh atas dedikasi serta sumbangan beliau yang amat berharga sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah PIDM, khususnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit bagi sebahagian besar tempoh perkhidmatan beliau. Kami mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti beliau dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha beliau pada masa hadapan,” tambah Datuk Abu Huraira.
Dengan pelantikan ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terkini adalah:
- Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
- Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
- Datuk Johan Mahmood Merican(Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
- Datuk Dr Yacob Mustafa
- Encik Razali Othman
- Dato Dr Nik Ramlah Mahmood
- Dato’ Dr Gan Wee Beng
- Encik Lee Kong Eng
- Encik ToiSeeJong
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia