PIDM Mengumumkan Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Baharu

15/07/2026
PIDM Mengumumkan Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Baharu

Kuala Lumpur, 15 Julai 2026: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Puan Nahidah Usman, To' Puan Janet Looi Lai Heng dan Encik Choong Tuck Oon sebagai ahli Lembaga Pengarahnya. 

“Seiring dengan evolusi PIDM dalam mendepani peluang dan cabaran yang baru muncul, kami berbesar hati mengalu-alukan pelantikan tiga individu berwibawa ini sebagai ahli Lembaga Pengarah. Pengalaman serta kepakaran mereka akan menjadi aset yang amat bernilai dalam membentuk hala tuju masa depan PIDM dan memastikan mandat kami dapat dilaksanakan dengan efektif,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi PIDM. 

Puan Nahidah kini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan. Hasil penglibatan beliau dalam pelbagai jawatan kepimpinan di Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri, beliau membawa pengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, kewangan dan pelaburan, kerjasama awam-swasta, perolehan kerajaan serta tadbir urus sektor awam. Beliau turut menganggotai Lembaga Pengarah Amanah Raya Berhad, AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd, AmanahRaya Trustees Berhad dan Suruhanjaya Kredit Pengguna. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah di Malaysian Debt Ventures Berhad dan UDA Holdings Berhad. 

Puan Nahidah memiliki Ijazah Sarjana Ekonomi (Sumber Manusia) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Diploma Pentadbiran Awam daripada Institut Tadbiran Awam Negara. 

To’ Puan Janet Looi Lai Heng ialah rakan kongsi utama dan Ketua Bahagian Korporat di Skrine, serta Ketua Bersama Kumpulan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) firma tersebut. Kepakaran beliau merangkumi penggabungan dan pengambilalihan (mergers and acquisitions – M&A) yang kompleks, urus niaga rentas sempadan, tadbir urus korporat, ESG, undang-undang korporat dan komersial, pengawalseliaan perkhidmatan perbankan, insurans dan kewangan, serta penstrukturan semula dan insolvensi. Beliau juga memberi khidmat nasihat kepada institusi kewangan dan syarikat korporat berhubung tadbir urus lembaga pengarah, tanggungjawab pengarah dan pengurusan kanan serta jangkaan kawal selia berkaitan ESG dan pendedahan risiko iklim. Atas sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang pengambilalihan, M&A dan urus niaga rentas sempadan, beliau telah diiktiraf sebagai pengamal berwibawa dan tokoh cemerlang dalam bidang berkenaan. 

To’ Puan Janet memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Monash University, Australia. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Malaysian Resources Corporation Berhad. 

Encik Choong Tuck Oon ialah Pengerusi Bukan Eksekutif Credit Guarantee Corporation (CGC) Digital serta Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FIDE Forum dan ProtectHealth Corporation. Beliau berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan kewangan, pengurusan risiko dan transformasi digital. Beliau telah berkhidmat di Accenture selama lebih 20 tahun dan pernah memegang pelbagai jawatan di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS). Antara pelantikan beliau yang terdahulu sebagai ahli lembaga pengarah termasuk sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Generali Life Insurance Malaysia Berhad dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas CGC Malaysia Berhad, NTUC Income Insurance Co-operative Limited, Star Media Group Berhad serta pelbagai entiti dalam Kumpulan Perbankan RHB. 

Encik Choong memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) daripada Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Sains dalam Aplikasi Komputer daripada Asian Institute of Technology, serta Diploma Eksekutif Pengarahan daripada Singapore Management University. 

Datuk Abu Huraira turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Dr Gan Wee Beng, Dato’ Dr Nik Ramlah Mahmood dan Encik Razali Othman yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan mereka sebagai anggota Lembaga Pengarah. 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Dato’ Dr Gan, Dato’ Dr Nik Ramlah dan Encik Razali atas khidmat bakti mereka sekian lama, sumbangan yang amat bernilai serta komitmen teguh mereka kepada PIDM. Kami mendoakan kejayaan berterusan dalam segala usaha mereka pada masa hadapan,” tambah Datuk Abu Huraira. 

Dengan pelantikan ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terkini adalah: 

  • Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
  • Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
  • Tan Sri Johan Mahmood Merican(Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
  • Datuk Dr Yacob Mustafa
  • Puan Nahidah Usman
  • Encik Lee Kong Eng
  • Encik Toi See Jong
  • To' Puan Janet Looi Lai Heng
  • Encik Choong Tuck Oon


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia