PIDM Anugerah Biasiswa kepada 20 Pelajar Cemerlang

08/09/2026
PIDM Anugerah Biasiswa kepada 20 Pelajar Cemerlang

Kuala Lumpur, 8 September 2026:  Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini menganugerahkan biasiswa kepada 20 pelajar yang layak di bawah Program Biasiswa Sarjana Mudanya bagi meneruskan komitmen untuk menyokong pelajar Malaysia yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Program biasiswa ini yang bermula pada tahun 2010 telah menyokong 292 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

“PIDM yakin bahawa pendidikan mampu membuka peluang untuk memperbaiki kehidupan masyarakat. Sepertimana kami melindungi pendeposit dan pemilik polisi, pendidikan tinggi juga boleh menjadi jaring keselamatan bagi penerima biasiswa dan keluarga mereka dalam membina masa depan yang lebih terjamin. Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM merupakan antara usaha kami untuk membantu merealisasikan aspirasi tersebut,” kata Afiza Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

Afiza memaklumkan bahawa Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM terus menjana minat yang tinggi dengan lebih 4,700 permohonan diterima pada tahun ini.

“Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan aspirasi golongan muda yang ingin mengejar impian masing-masing serta bantuan yang diperlukan untuk meneruskan impian tersebut. Melalui program ini, PIDM berupaya membantu meringankan beban kewangan mereka agar mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan merealisasikan potensi masing-masing. Kami juga turut berasa bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan pembelajaran mereka,” tambah Afiza.

Antara penerima biasiswa tahun ini ialah Elisa Reena Dass dari Ipoh, Perak, yang akan mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan di Universiti Sains Malaysia. Dibesarkan oleh ibu tunggal, Elisa mencatatkan kecemerlangan akademik yang konsisten meskipun berdepan cabaran kewangan dalam keluarganya. Beliau memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta mencapai PNGK 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

“Ibu saya sentiasa menekankan bahawa pendidikan adalah kunci untuk mengubah kehidupan kami dan membina masa hadapan yang lebih cerah. Anugerah biasiswa ini membawa saya selangkah lebih dekat untuk merealisasikan matlamat tersebut. Saya juga berharap dapat menimba pengalaman praktikal menerusi program latihan industri PIDM sebagai persediaan profesional untuk membina kerjaya dalam bidang kewangan,” kata Elisa.

Seorang lagi penerima, Nur Lyana Norfadzly dari Cheras, Kuala Lumpur, kini mengikuti pengajian dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau berazam menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya serta berusaha membina masa depan yang lebih cerah untuk keluarganya. Setelah mengetahui melalui media sosial bahawa permohonan bagi Program ini telah dibuka, beliau terus memohon dengan segera kerana yakin ia suatu peluang berharga untuk mencapai cita-cita dengan sokongan kewangan dan ketenangan minda.

“Saya amat bersyukur dan lega. Penerimaan biasiswa ini menghilangkan segala kebimbangan yang saya hadapi mengenai pembiayaan pengajian. Ia merupakan satu detik yang amat bermakna dan akan saya kenang sampai bila-bila,” kata Nur Lyana yang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik suatu hari nanti.

Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM menyediakan bantuan kewangan kepada para penerima untuk melanjutkan pelajaran dan menamatkan pengajian tinggi mereka. Bantuan komprehensif ini merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup dan alat bantuan pembelajaran. Selain daripada bantuan kewangan, penerima biasiswa turut berpeluang menjalani latihan praktikal di PIDM dan menerima bimbingan daripada mentor PIDM sepanjang tempoh pengajian mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, layari laman web PIDM.  Video mengenai penerima biasiswa kami boleh didapati di sini.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia